Bitcoin : Antara keterujaan bertransaksi, status hukum dan sikap kita sebagai muslim.

Nilai yang melambung dalam masa singkat. Graf peningkatan nilai yang berterusan. Tidak perlu wang fizikal seperti wang fiat. Ini antara beberapa faktor keterujaan sebahagian pengguna Bitcoin sama ada untuk tujuan medium pertukaran nilai ataupun sebagai instrumen pelaburan. Bitcoin adalah suatu matawang atau asset yang berbentuk digital, membawa nilai tertentu tanpa mempunyai nilai intrinsik mahupun fizikal seperti wang fiat yang lain. Kebanyakan daripada penggunanya menggunakannya disebabkan kenaikan nilainya yang berterusan dan semestinya menjana keuntungan pemiliknya. Disebalik keterujaan golongan tersebut, ada beberapa sisi pandang yang harus diambil kira disebalik keuntungan semata-mata. Bank Negara Malaysia sebagai pengawalselia urusan kewangan Negara masih meneruskan kajian dalam pelbagai sudut. Keputusan keharusan bitcoin sebagai matawang bukan sekadar dilihat menurut lunas undang-undang semata-mata tetapi sudut pandang ekonomi secara makro, undang-undang, hukum fekah dan juga risiko-risiko yang hadir bersama bitcoin masih lagi diperhalusi.   Kepentingan mengetahui hukum Islam menerusi cabang fiqh muamalah islam menekankan peri penting mengetahui hukum hakam transaksi jual beli dan perkara yang berkisar tentangnya. Bersabda Rasulullah s.a.w : يأتي على الناس زمان لا يبالي الرجل من أين أخذ المال أمن حلال أو من حرام Maksudnya : Akan sampai satu zaman di mana manusia tidak peduli sumber perolehan hartanya sama ada dari yang halal atau dari yang haram. Berkata Umar al-Khattab r.a. : لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين Maksudnya : Janganlah seseorang berjual beli di pasar kami melainkan sesungguhnya dia telah memahami hukum hakam tentangnya. (Riwayat Tirmidzi, no 487, ms 129 ; Albani menghasankannya). Syeikh Ahmad Syakir seorang ulama pentahqiq berkomentar seputar isu ini dengan menyebut (maksudnya): “Ya benar( merujuk kepada larangan Umar r.a.), supaya dia mengetahui apa yang boleh dia ambil dan apa yang dia perlu tinggalkan, supaya dia mengetahui halal dan haram, dan tidak merosakkan transaksi jual beli mereka dengan perkara-perkara batil dan penipuan…”. (Ta’liq Ahmad Syakir ke atas Sunan al-Tirmidzi, jilid 2, ms 257). Dengan ini maka setiap pelabur/pengguna Bitcoin perlu cakna akan hukum mengunakannya sebagai medium pertukaran juga pelaburan sebelum terlibat dalam perkara ini. Namun ini hanya dari sudut pandang syariah secara ringkas semata-mata tanpa mengambil kira pandangan undang-undang secara khusus.   Perbezaan pendapat terhadap hukum Adalah maklum bahawa matawang digital seperti bitcoin ini adalah perkara baru yang memerlukan penelitian para ulama, badan fatwa dan pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan hukumnya terhadap sesuatu ruang kuasanya (within jurisdiction). Bank Negara Malaysia menerusi jawatankuasa penasihat Syariahnya belum memutuskan secara rasmi hukum Bitcoin untuk penggunaan industri kewangan islam Malaysia. Begitu juga Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum mengeluarkan hukum Bitcoin secara rasmi. Secara umumnya terdapat 3 golongan ulama yang mewakili 3 hukum dan keadaan yang berbeza. Pertama, golongan ulama yang mengharuskannya secara mutlak dan bersyarat. Kedua, golongan yang mengharamkannya. Ketiga, golongan yang masih bersikap tawaqquf (tidak memutuskan hukumnya). Bagi golongan ulama yang mengharuskan Bitcoin samaada secara mutlak mahupun bersyarat, mereka melihat kepada beberapa asas yang sama. Bahkan gologan yang mengharamkan Bitcoin juga melihat kepada asas yang sama. Antaranya asas yang menjadi penilaian mereka ialah :
  1. “Legal tender”, iaitu perakuan kerajaan melalui autoriti kewangan akan keabsahan Bitcoin diperlakukan.
  2. Kewujudan “Gharar”, iaitu ketidaktentuan dalam ketelusan transaksi menggunakan Bitcoin melalui system yang terlibat disebabkan kewujudan “Jahalahiaitu ketidaktahuan di dalam sistem “blockchain”nya semasa proses “mining”(perlombongan) begitu juga algorithma/formula pengiraan peningkatan nilai setiap kali ada permintaan dan lain-lain.
  3. Risiko yang tinggi terhadap beberapa perkara antaranya :
  4. Tahap sekuriti sistem blockchain yang digunapakai semasa transaksi berjalan.
  5. Nilai bitcoin berdasarkan permintaan dan penawaran yang didasari sistem algorithma yang rumit.
  6. Penyalahgunaan Bitcoin untuk tujuan yang menyalahi syarak dan undang-undang seperti pembiayaan aktiviti pengganas, pendobian wang haram dan sebagainya.
  7. Tiada peruntukan undang-undang sedia ada dapat melindungi kerugian yang dialami pihak yang terlibat (Di Malaysia).
  8. Terdedah kepada spekulasi.
Berdasarkan asas-asas yang disebutkan di atas, beberapa orang ulama cenderung mengharuskan Bitcoin antaranya Prof. Dr. Munzer Qahf, Syeikh Prof. Dr. Ali el-Ghari, Syeikh Dr. Daud Bakar dan beberapa ulama yang lain. Mereka mengharuskan berdasarkan kaedah “الأصل في المعاملات الإباحة “ bermaksud asal kepada muamalat/transaksi adalah harus melainkan ada dalil yang melarangnya. Lebih dari itu, penelitian dan kajian dibuat adalah bersifat “end to end” (hujung ke hujung) terhadap proses penempaan (mining) hinggalah kepada transaksi yang melibatkan bitcoin. Kajian yang dilakukan mereka mendapati tiada elemen-elemen pengharaman. Oleh sebab mereka cenderung mengatakan harus dan ia adalah sejenis matawang, maka secara automatik semua transaksi Bitcoin mengambil hukum “Bai’ al-Sarf” (pertukaran matawang). Namun klasifikasi Bitcoin masih menjadi perbincangan sama ada ia suatu bentuk matawang ataupun komoditi ataupun suatu klasifikasi baru yang akan mengubah beberapa obligasi dan hukum bitcoin ke atas pemiliknya. Adalah menjadi lumrah sesuatu perkara baru yang bersifat ijtihadi, ia seringkali mempunyai hukum yang berlainan pada isu yang sama. Begitulah juga hukum Bitcoin ini, terdapat beberapa ulama mengharamkan penggunaan Bitcoin kerana risiko-risiko yang terdapat padanya juga impak negatif terhadap ekonomi negara secara makro dalam menjalani aktiviti ekonomi menggunakan matawang ini. Ini bersesuaian dengan kaedah “سد الذريعة” yang bermaksud menutup pintu kerosakan menurut ilmu Usul al-Fiqh. Begitu juga ada diantara mereka yang mengharamkannya berdasarkan pengharaman yang dilakukan oleh sesebuah Negara berdalilkan dengan kaedah fiqh yang berbunyi “تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة” yang bermaksud kebijaksanaan tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah tergantung kepada maslahah. Kaedah ini terpakai sekalipun asal kepada sesuatu perkara itu adalah harus. Namun campur tangan pemerintah demi maslahah rajihah rakyat secara umum adalah menjadi  pemutus hukum. Antara yang mengharamkan Bitcoin adalah Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Ahmed Tayyib, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, Syeikh Dr. Abdul Sattar Abu Ghuddah dan lain-lain. Setelah meneliti perbezaan pendapat dalam ijtihad hukum Bitcoin ini, penulis dapat merumuskan bahawa antara sebab yang membawa kepada perselisihan adalah disebabkan oleh tahap capaian maklumat yang berbeza, sudut pandang yang berbeza, cara berinteraksi dengan dalil-dalil yang diperselisihi yang  berbeza serta keadaan, masa dan tempat yang berbeza sering menjadi faktor kepada perbezaan pendapat dalam berijtihad. Golongan yang mengharuskan Bitcoin membezakan “الغرر” (ketidaktentuan) dengan “المخاطر” (risiko) dimana mereka menganggap risiko sebagai lumrah dalam setiap transaksi ataupun perniagaan. Justeru, ia tidak sepatutnya dikira sebagai sebab pengharaman disamping berhujah dengan keharusan berinovasi dalam transaksi selagi tiada larangan. Sebaliknya, golongan yang mengharamkan Bitcoin mengambil kira risiko sebagai ketidaktentuan justeru membawa kepada pengaplikasian kaedah سد الذريعة”” terhadap isu Bitcoin. Namun perlu dinyatakan di sini bahawa kajian berkenaan Bitcoin dan matawang digital sedang giat dijalankan yang memungkinkan penemuan-penemuan maklumat baru yang mampu diambil kira sebagai faktor yang memberi kesan pada hukum. Dalam erti kata lain, seseorang ulama berkemungkinan akan mengeluarkan pendapat yang baru (qaul jadid) setelah mendapati maklumat, fakta tambahan ataupun melihat kepada “case to case basis” yang menyebelahi hukum sebaliknya (qaul qadim) sebagaimana al-Imam al-Syafie dalam beberapa masalah fiqh. Ataupun dua qaul yang berbeza sebagaimana mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal pada beberapa masalah fiqh.   Bagaimana sikap kita? Sebagai seorang muslim yang baik, perbezaan pendapat ulama diambil dengan penuh keimanan tanpa mengikut hawa nafsu. Dalam erti kata lain muslim juga perlu berijtihad (secara literal) iaitu mengerah tenaga, ilmu dan pengalaman atas kapasiti yang ada tanpa mengikut hawa nafsu dalam menimbang tara fatwa atau pendapat yang mengharuskan atau pendapat yang mengharamkan. Ini bersesuaian dengan hadith Baginda saw yang berbunyi : دع ما يريبك إلى ما لا يريبك Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang kamu ragui kepada apa yang kamu tidak ragui(pasti). (Riwayat Tirmidzi, no 2442; Albani mengsahihkannya). Sikap segelintir muslim memandang enteng perihal hukum muamalah tanpa bertanya kepada pakarnya akan membawa kepada kekesalan dan kehilangan pedoman dalam hidup. Muslim yang bijak adalah muslim yang cakna dan mengambil berat perihal hukum hakam sesuatu transaksi muamalah sebelum beramal dengannya. Ia adalah prinsip di dalam kehidupan Islam sebelum beramal. Semoga prinsip ini menjadi panduan bersama dalam menghadapi persoalan-persoalan muamalah semasa dalam kehidupan seharian kita yang mendatang. Walaubagaimanapun, sebagai panduan orang awam muslimin, antara pihak yang berautoriti mengeluarkan fatwa adalah Mufti negeri melalui jawatankuasa fatwa negeri/perunding hukum syarie atau Fatwa kebangsaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan(MFK) ataupun autoriti dalam bidang kewangan iaitu Bank Negara Malaysia melalui Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (JPSBNM). Fatwa/pendapat selain daripada itu hanyalah fatwa/pendapat peribadi seseorang ulama yang boleh diamal jika tiada fatwa dikeluarkan oleh tiga badan autoriti kefatwaan di atas.
Facebook 0
Google+ 0
Twitter
LinkedIn 0

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *